“ Wahai sekalian
manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang HALAL lagi baik, dan janganlah
kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh
yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara
yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang
kamu tidak ketahui (salah benarnya)”
Surah al-Baqarah, ayat
168-169
Salah satu keperluan asas untuk hidup dalam dunia ini yang
tiada siapa dapat nafikan ialah: MAKANAN. Betul tak? Tak kira ke mana sekalipun
kita pergi, atau apa sahaja perkara yang kita nak buat (hatta ibadah i.e puasa
sekalipun) perlukan makanan. Sebagai agama yang syumul, Islam telah meletakkan
garis panduan untuk memilih makanan yang baik untuk badan dan juga akal. Bukan
untuk kepentingan orang lain, bahkan untuk diri kita sendiri juga.
Salah satu ibrah yang dikemukakan daripada terjemahan ayat
al-Quran di atas adalah mengenai kepentingan memakan makanan yang baik dan
halal. Dalam Tafsir Al-Quranil ‘Azhim, Ibnu
Kathir ada menyebut:
Tatkala Allah
menjelaskan bahawa tiada Tuhan selain-Nya dan bahawa Dia berdiri sendiri tanpa
adanya makhluk, maka Dia mula menjelaskan bahawa Dia Maha Memberi Rezeki kepada semua makhluknya. Lalu Dia
menyebutkan dalam konteks memberikan selamat, bahawa Dia membolehkan kepada
mereka untuk memakan apa yang ada di bumi yang halal dan baik dari Allah, yakni
yang diperoleh dengan baik bagi
dirinya, tidak membahayakan badan dan
akalnya, dan mencegah mereka dari
mengikuti langkah-langkah syaitan, yakni pelbagai cara dan jalannya dalam
hal menyesatkan para pengikutnya pada jalan itu…”
Jadi, apa makanan yang halal dan baik sebenarnya? Dalam
kenyataan di atas kita dapat lihat beberapa definisi makanan yang halal berdasarkan
syariat Islam. Namun begitu, Allah juga ada berfirman tentang makanan yang
haram dimakan dalam surah al-Baqarah ayat 172 hingga 173 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang
beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami
berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya
beribadat kepadanya. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi,
dan binatang-binatang yang disembelih
tidak kerana Allah, maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak
mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda
yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Secara jujurnya, selama ini konsep makanan halal cuma aku fahami
berdasarkan logo halal JAKIM yang ada pada pek makanan. Bagi aku, yang mana ada
logo halal bulat bintang bucu lapan itulah yang pasti, dijamin, 100% selamat dimakan.
Tapi, sebagai rakyat yang menetap di luar Malaysia, apatah lagi di sebuah negara
yang mana majoriti rakyatnya bukanlah beragama Islam, memang akan kebuluranlah jawabnya
insan yang sedang menaip ini gara-gara nak mencari logo halal JAKIM XD
Ada sesetengah orang yang aku kenal sangat menjaga bab-bab
pemakanan halal ni, malangnya ada juga yang memandang remeh kepentingan
mengambil makanan halal. Bagi aku, mencari makanan yang halal di kota London
bukanlah sesuatu yang mustahil, bahkan bukanlah satu perkara yang sukar.
Sebagai contoh, pasaraya Tesco di London ini ada menjual
makanan halal seperti daging ayam, sosej, dan daging kambing, tetapi hanya terhad
kepada sesetengah jenis Tesco sahaja terutamanya yang besar seperti Tesco Metro.
Tesco yang paling hampir dengan tempat kediaman aku (yang mengambil masa 5
minit untuk pejalan kaki) ialah sebuah Tesco Express, yang mana produknya lebih
terhad berbanding Tesco biasa, dan malangnya tiada daging halal dijual di Tesco
tersebut. Jadi, terpaksalah aku pergi ke Tesco Metro yang jauh sikit je berbanding
Tesco Express ni, cuma mengambil masa lebih 15 minit untuk aku berjalan
kaki demi mencari daging yang halal. Kata orang, di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan.
Pasaraya Sainsbury, alternatif untuk Tesco |
Pada pendapat aku, kalau kita berani bertanya, sebenarnya isu mendapatkan makanan halal ni bukanlah sesuatu yang teruk sangat pun. Semasa aku berkhemah dekat Chichester hari tu pun, aku memberanikan diri bertanya tukang masak kami kalau-kalau hidangan yang disediakan sepanjang perkhemahan tu halal. Dan dia memberitahu aku yang ayam yang disediakan ialah ayam halal, malangnya ‘beef’ yang disediakan tidak halal. (Sekurang-kurangnya, dapat juga aku makan ayam waktu tu XD) Jadi setiap kali ‘beef’ dihidangkan aku akan beratur dalam barisan vegetarian (satu perkara yang aku tak pernah buat selama ni hahaha)
One Pound Shop |
Tak dapat aku nafikan kebelakangan ini aku rasa lebih sensitif
terhadap apa yang aku makan. Aku (terpaksa) mula membaca setiap bahan dalam
senarai ramuan setiap makanan (yang sudah pasti tak pernah aku buat selama aku
hidup kat Malaysia sebab cuma sibuk cari logo halal je hahaha). Aku rasa sangat
bersyukur wujudnya satu golongan yang bernama ‘vegetarian’ dalam dunia ni,
sebab kebiasaanya makanan golongan inilah yang selamat untuk aku makan. Frasa ‘Suitable
for vegetarians’ mungkin akan jadi frasa kegemaran aku untuk beberapa tahun ini
hahaha (walaupun aku bukanlah penggemar benda berwarna hijau tu pun). Di sini, tidak semua KFC, Pizza Hut, Burger King, Subway menyediakan daging yang halal. Aplikasi 'Halal Trip' sangatlah membantu setiap kali kami ingin mencari restoran halal setiap kali berada di luar.
Sedikit sebanyak aku berpendapat kita perlu meningkatkan kesedaran bahawa makanan haram bukanlah
sekadar daging babi dan alkohol sahaja, tetapi lebih daripada itu. Bukan selama ni
kita tak tahu, cuma, mungkin tahap kepekaan kita agak rendah kerana kita tak menyedari pentingnya bagi kita mengetahui perbezaan ini, kalau bukan sekarang, untuk masa-masa akan datang.
Insya Allah, semoga Allah melindungi kita daripada
perkara-perkara yang haram, dan semoga kita sentiasa dilimpahi nikmat dan rahmat-Nya,
amin.
Comments
Post a Comment