Pada satu hari dekat rumah, aku ada tengok satu cerita ni, pasal seorang lelaki yang baru belajar solat sebab nak masuk 'Pencetus Ummah'. Tapi, nak dijadikan cerita, ada beberapa perkara yang berlaku yang menyebabkan dia membatalkan hasratnya untuk masuk rancangan realiti TV tu. Satu malam, selepas dia solat maghrib dengan adik dia, adik dia tanya...
"Abang tak masuk Pencetus Ummah kan? Kenapa abang solat?"
"Sebab... abang nak ketuk pintu."
"Pintu apa?" tanya si adik.
"Ada tempat yang abang nak pergi lepas abang mati. Tempat tu cuma orang yang tak sombong dengan Allah je boleh pergi." jawab si abang.
"Orang yang sombong dengan Allah tu macam mana?" si adik bertanya lagi.
"Orang yang tak solat, orang yang tak puasa..." kata si abang, cara mudah nak bagi adiknya faham.
"Oh...jadi abang solat, nak ketuk pintu apa?"
"Syurga!" jawab si abang, ringkas. Ada senyuman di bibirnya.
"Kalau macam tu, adik tak nak jadi orang yang sombong dengan Allah. Adik nak ikut boleh?"
"Boleh..." Kata abang, masih tersenyum memandang adiknya.
-
Aku terdiam sejenak. Lebih kepada, mengimbau kembali zaman lampau aku. Walaupun mak ayah aku bukanlah ustaz ustazah, aku rasa mereka dah bagi pendidikan agama yang terbaik untuk aku. Aku dan adik-adik aku dihantar ke tadika yang mengajar cara solat dan perkara asas dalam Islam. Aku dan adik-adik aku dihantar ke sekolah rendah yang ada Pendidikan Islam, bukan sekolah cina, bukan sekolah convent. Aku dihantar ke sekolah menengah yang bukan sahaja tempat aku belajar Bahasa Arab, tapi aku berpeluang belajar Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan as-Sunnah. Aku dihantar ke kolej yang ada surau, yang ada tazkirah setiap minggu, yang ada komuniti Islam yang tak kurang hebatnya. Jadi bila aku tengok keluarga yang mana mak ayah dia pun tak berpeluang nak bagi asas didikan agama, macam cerita kat atas, yang mana mak ayah dia pun antara orang yang tak solat, aku terfikir, aku ni dalam kalangan orang yang tidak bersyukur ke? Aku rasa I take that thing for granted.
Bila aku dihantar ke sebuah negara yang sangat asing bagi aku; satu tempat yang 100% bukan comfort zone aku, menipu besarlah kalau aku katakan aku tak pernah persoalkan, kenapa Kau hantar aku dekat sini?
Satu tempat yang jauh daripada keluarga aku yang boleh ingatkan aku pentingnya jaga foundation agama ni. Satu tempat yang jauh daripada segala suasana dan boleh aku katakan, pengaruh baik, yang aku pernah rasa, satu ketika dulu.
Ya, aku tahu. Bukanlah satu perkara yang baik mempersoalkan takdir aku yang Kau dah tentukan. Bukan sesuatu yang baik meragui rancangan Kau yang pasti lebih baik daripada apa-apa yang aku rancangkan. Tapi aku bertanya, sebab aku cuba nak memahami, apa hikmah takdir aku kali ni? Kerana selama ni, aku tak pernah dapat apa yang aku minta.
Sebab selama ni, Kau selalu bagi jauh yang lebih baik daripada apa yang aku sangka.
Jauh aku daripada semua insan yang aku harapkan, jauh aku daripada semua perkara yang tak ingin aku lepaskan. Dan setelah setahun berlalu, Kau mula buat aku sedar, waktu aku rasa jauh itu lah,
Engkau makin dekat.
Kau dekat sebab aku tiada tempat untuk aku minta orang mengingatkan aku lagi. Kau dekat sebab aku tak ada tempat bergantung harapan lagi. Kau dekat sebab tatkala orang lain jauh, Kau sahaja tempat aku boleh mengadu dan merintih tanpa dibatasi beza waktu dan jarak bumi.
Dan setiap kali aku rasa Kau jauh, sebenarnya akulah yang lupa untuk berlari.
Tapi setiap kali aku tersungkur, Kau tak pernah halang aku untuk bangkit kembali.
Sebab ujian hidup yang Kau beri bukan sama seperti ujian di universiti. Kau tak pernah buang aku, walaupun aku gagal lebih seribu kali. Betapa kasihnya Kau pada aku, sayangnya tak selalu aku ingat untuk menghargai nikmat cinta sempurna yang Kau beri.
Cinta yang sempurna; cinta itu tak pernah jauh sebenarnya. Jika cinta itu satu kepercayaan yang tinggi nilainya, yakinlah bahawa,
"...boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 2:216)
Baik atau buruk setiap perkara, kalau Allah izinkan terjadinya sesuatu itu, jangan kau ragui. Pasti ada sebab dan hikmahnya. Yang penting, kau carilah redha-Nya :)
[Petikan dialog daripada filem 'Abang Beduk' Astro Oasis]
👍Carilah hikmah yang tersembunyi dalam setiap detik hidup.
ReplyDelete