Dah lama sangat rasanya tak menulis, harap-harap masih belum berkarat tulisan aku ni. Kalau tumpul harap-harap masih boleh diasah semula :)
Disebabkan kekangan masa yang mungkin juga telah membawa kepada kekangan idea dek si penulis ini tidak mengambil masa untuk mencari hikmah-hikmah setiap perkara yang terjadi dalam hidupnya kebelakangan ini, maka terjawablah persoalan mengapa makin berkurangnya post di blog ini ya huhu
Namun syukur ke hadrat Ilahi, dalam kesibukan menjalani kehidupan dunia dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar universiti, Allah masih menyelitkan pengajaran dalam setiap pengalaman hidup aku yang tak seberapa ni, yang aku rasa perlu aku ambil iktibar sebagai peringatan di kemudian hari.
Minggu pertama cuti musim panas tahun ini, aku di Wales (sekali lagi!). Aku meluangkan masa selama seminggu di Snowdonia National Park, mendaki gunung-ganang yang boleh tahan tinggi dan curamnya. Setelah menghabiskan kudrat untuk mendaki selama seminggu, Allahu, aku sepatutnya bersyukur kerana masih mampu bernafas dan menaip patah-patah perkataan di hadapan komputer riba aku ini. Jangan ditanya berapa kali aku berfikir untuk berpatah balik mahupun berhenti! Mujur rakan-rakan sekumpulan aku banyak memberi sokonan moral kepada kami orang-orang yang sentiasa di belakang ini 😌
Hari pertama kami di Wales merupakan hari training. Jurulatih kami memberikan beberapa latihan untuk memastikan kami tahu membaca peta dan menggunakan kompas secara praktikal. Sampai di satu kawasan di mana kami perlu menyeberangi sebatang anak sungai untuk meneruskan perjalan, entah bagaimana kaki aku terbenam dalam air lumpur berdekatan anak sungai itu. Aku yang sedang memegang peta kumpulan aku ketika itu terjerit kecil.
"Are you alright?" tanya jurulatih kumpulan kami yang sudah pun berada di kawasan seberang anak sungai di depan aku.
"Yeah I'm good!" laungku yang masih mencuba untuk menarik keluar kakiku dari lumpur tersebut.
Jurulatih kami terpaksa datang 'menyelamatkan' aku kerana salah satu kasut aku tertanggal dari kakiku. (Haih, menyusahkan orang betul...)
"Still smiling while her foot is stuck in the mud, that's the spirit that we want." ujar jurulatihku setelah menyerahkan kasutku kembali.
Aku tersengih.
Pada hari-hari seterusnya, ada masanya kaki aku tenggelam dalam air lumpur lagi, kalau bukan dalam air sungai yang jernih di sepanjang perjalan kami.
* * *
Kebelakangan ini aku rasakan yang aku sentiasa berada dalam situasi yang tidak pernah gagal menguji kesabaran dan keimanan aku. Terasa bagai setiap hari aku tersungkur dalam air lumpur yang keruh - ada saja kesusahan yang datang menyapa. Dan setiap kali air mata aku mengalir kerana tidak mampu untuk menarik diri ini keluar dari lumpur itu sendiri, setiap kali itu jugalah aku merintih mengharapkan bantuan daripada Dia yang tak pernah jemu mendengar keluhan seorang hamba kerdil ini. Lumrah seorang manusia, ada kalanya aku juga terlupa bahawa Dialah yang Maha Berkuasa ke atas setiap sesuatu yang terjadi ke atas diriku, maka tiada sesiapa lagi yang lebih layak untuk menjadi tempat aku mengadu, kerana hanya Dia sahaja yang lebih mengerti perjuangan dalam setiap cabaran yang aku hadapi. Ada masanya aku perlu bertanya kepada diri sendiri, 'ke mana hilangnya keyakinan dengan kebesaran-Nya apabila bersendirian?', apatah lagi saat diri tewas berulang kali dengan ujian. Pengalaman mendaki aku tempoh hari juga mengingatkan diri ini bahawa 'air yang jernih' itu juga satu ujian - kesenangan hidup juga ada cabarannya yang tersendiri, malah pasti ada hikmah tersimpan dalam setiap nikmat yang diberi.
"Hidup tidak selalunya indah,
langit tak selalu cerah"
Hujan dan panas itu lumrah
Sebagaimana suka dan duka itu fitrah
Bertemankan beban tergalas di bahu
Ku pujuk diri untuk terus maju
Langkah demi langkah cuba ku atur
Agar sekujur tubuh tak jatuh tersungkur
Namun aku hanya manusia yang lemah
Ada ketika ku tersilap langkah
Dihanyutkan arus air yang keruh
Dari cinta abadi ku terus menjauh
Tenggelam dalam gelapnya dunia
Dalam kelam jiwaku terseksa
Namun cahayaNya tak pernah padam
Andai dicari, hidup tak suram
Dibawa menghampiri arus yang jernih
Oleh sang Pencinta yang Maha Pengasih
Mungkin esok aku jatuh kembali
Yang keruh, yang jernih, tak pernah pasti
Yang perlu ku tahu dan perlu ku sedar
Arah untuk dituju bila ku tersasar
Kerana setiap detik perancangan hidupku
Hanya Dia sahaja lebih tahu
Ketika bumi dibasahi hujan yang turun tanpa henti, pasti akan ada masa langkah kaki ini terbenam dalam air lumpur yang keruh atau ditenggelamkan air sungai yang jernih. Ah, hidup memang sentiasa begitu bukan? Setelah melepasi onak dan duri, perjalanan di hadapan masih mendesak diri meredah lumpur mahupun merentas lautan api. Namun tak kira sama ada ingin aku berpatah balik mahupun berhenti, satu-satunya pilihan yang tersedia di depan mata hanyalah pilihan untuk mengumpul kekuatan untuk bangkit dan terus mengorak langkah dalam melayari bahtera kehidupan yang akhirnya belum pasti.
Semoga aku sentiasa menjadi orang itu - yang sentiasa tersenyum walaupun ditenggelami air keruh yang mencemari tubuh yang bergelut untuk berdiri teguh mahupun air jernih yang mampu memantulkan cahaya mentari.
Apa yang pasti, saat aku berjaya menarik diri ini keluar dan memerhatikan pilihan-pilihan yang ada di persimpangan hati, yang ingin ku pinta dari-Mu hanyalah jalan keluar menuju destinasi yang Engkau janjikan - sebuah pengakhiran yang sekian lama aku impikan.
Semoga aku sentiasa menjadi orang itu - yang sentiasa tersenyum walaupun ditenggelami air keruh yang mencemari tubuh yang bergelut untuk berdiri teguh mahupun air jernih yang mampu memantulkan cahaya mentari.
Apa yang pasti, saat aku berjaya menarik diri ini keluar dan memerhatikan pilihan-pilihan yang ada di persimpangan hati, yang ingin ku pinta dari-Mu hanyalah jalan keluar menuju destinasi yang Engkau janjikan - sebuah pengakhiran yang sekian lama aku impikan.
Kebahagiaan sebenar jangan diukur dengan neraca nafsu...kerana nafsu takkan pernah puas. Tetapi ukurlah kebahagiaan, ketenangan, keamanan itu dengan neraca iman... Orang yang beriman mengetahui hidup ini adalah untuk diuji, dan kebahagiaan bukanlah apabila tiada ujian, bahkan kebahagiaan adalah apabila dia dapat redha, sabar dan meneruskan hidup walaupun pelbagai ujian menimpanya... Semakin tinggi iman seseorang itu, semakin dahsyat ujian yang akan menimpanya...
Jika kita dapat redha dan sabar, dan meneruskan kehidupan selepas (ditimpa) ujian,
Itulah kebahagiaan yang sebenar.- Ustaz Adnin Roslan
Comments
Post a Comment