"Kalaulah aku ni komputer riba, kan best..."
Ujar Am memecah kesunyian antara dirinya dan Jo yang masih leka menghadap komputer ribanya.
Suasana sekeliling mereka hakikatnya tidaklah begitu sunyi. Bangunan British Library itu sudah pun dipenuhi pengunjung seawal jam 10 pagi walaupun waktu operasinya baru sahaja bermula setengah jam sebelumnya. Perpustakaan ini bukan sahaja menjadi tempat tarikan pelancong dari luar negara, malah turut menjadi tumpuan rakyat tempatan khususnya dalam kalangan pelajar dan pekerja berikutan ruang-ruang bekerja yang disediakan di segenap kawasan bangunan tersebut. Antara pelawat-pelawat yang gemar berkunjung ke perpustakaan ini termasuklah Jo dan Am yang masing-masing merupakan penuntut di salah sebuah universiti yang terkemuka di London.
Jo mengalihkan pandangannya ke arah Am. "Kenapa kau tiba-tiba cakap macam tu?" Tanya Jo kehairanan.
Am melepaskan keluhan kecil, "Tak adalah, kalau aku ni komputer riba, bila battery aku habis je aku boleh rehat. Aku boleh shut myself down. Sebab macam-mana pun manusia memang kena charge aku dulu baru diorang boleh bagi aku hidup balik..."
"...Penat la jadi manusia. Kalau penat pun, kerja kena settle. Kalau sakit pun, kerja kena siap. Sedih tau hidup."
Jo tergelak kecil. "Kelakarlah kau ni, Am. Biasanya orang cakap, kerja tak berhenti ni macam robot. Ni, kau pulak nak jadi machine."
"Machine pun kalau panas macam nak meletup orang tutup, Jo..."
"Apa kurangnya manusia? Kalau demam pun mintak cuti kan?"
Am mencebik. "Ya lah, tapi nak mintak cuti pun kadang-kadang bukannya senang,"
Jo hanya tersenyum. "Kau ni Am, banyak sangat berangan. Nampak burung nak jadi burung, nampak bunga nak jadi bunga, nampak laptop nak jadi laptop. Kalau ada biawak lalu depan kita ni, agak-agak jadi biawak pun kau nak, hahaha"
"Ish kau ni, aku cuma meluahkan apa yang aku fikir je. Kadang-kadang aku terfikir juga, macam mana la agaknya perasaan aku kalau aku jadi pokok ke, kalau aku jadi air ke, apa-apa je lah yang bukan manusia. Ha, tengok, macam laptop ni. Boleh simpan banyak data, boleh store programme yang process macam-macam, banyak tau sumbangan dia untuk manusia. Salah ke kalau aku nak jadi benda yang berguna kepada manusia sejagat? Hahaha" kata Am, tidak kelihatan tanda-tanda mahu mengalah dengan sahabat baiknya itu.
"Tapi Am, kalau kau jadi laptop, kau akan jadi milik seorang manusia je. Kalau kau jadi manusia, kau boleh berbakti untuk masyarakat, keluarga, negara. Ha, kan lagi bagus? Lagi banyak pahala kau. Laptop ni pun, tak akan jadi bermanfaat kalau bukan kerana manusia yang menggunakannya. Tak gitu?"
"Kau ingat tak, dalam Quran kan ada sebut, manusia ni sebaik-baik makhluk yang Allah cipta. Sebaik-baik umat. Kau kena bersyukur tau kita ni Allah jadikan sebagai manusia. Boleh berfikir, boleh ada perasaan, ada tamadun, ada kemajuan."
"Ish kau ni, tak perlu kot nak deep deep sangat. Aku cuma nak melayan random thoughts aku je." kata Am sambil menolak bahu Jo.
"Hahaha, tak adalah, aku cuma nak mengingatkan je. Tapi, betul la kan apa aku cakap? Kau tu, kena jadi manusia yang bersyukur sikit. Kalau kau rasa tak sihat, rehat lah, tak payah kusut-kusut sangat sampai nak jadi laptop hahaha"
"Hmm yalah. Aku melaga hujah dengan budak debat macam kau ni tak ada guna juga, asyik kena bidas saja sudahnya." kata Am separuh merajuk.
"Eh tiba-tiba pulak dia ni. Eh eh kau nak pergi mana?"
"Aku nak pergi beli coffee kat cafe. Jagakan barang aku jap, thanks!"
"Am, hehehe tolong..." kata Jo, menghentikan langkah Am yang baru saja bingkas bangun menuju ke cafe library tersebut.
"Tolong apa?"
"Tolong beli coffee!" Jo tersengih.
"Kau memang, suka betul ambil kesempatan. Tak apa lah, sebagai tanda terima kasih sebab kau bagi tazkirah eksklusif untuk aku, aku belanja kau hari ni. Hmmm kau nak coffee apa?"
"Ceh, coffee je? Murahnya harga tazkirah 'eksklusif' aku!" kata Jo, pura-pura tidak berpuas hati dengan tawaran Am.
"Mengada! Baru aku tahu aku ada kawan penunggang agama! Hahaha" balas Am selamba lalu turut ketawa melihat gelagat rakannya.
"Woi, siapa yang sentap siapa sekarang hahaha" Gelak Jo semakin kuat.
"Hahaha siapa makan cili dia yang terasa pedasnya, siapa yang minum kopi dia yang terasa pahitnya. Ha kau nak tak kopi kau tu? Lambat-lambat aku tinggal je nanti."
"Cappucino, please! Kalau tak ada latte pun boleh."
Am mengangkat tangan kanannya menunjukkan sign 'okay'. Jo mengembalikan pandangannya ke arah komputer ribanya. Jari-jemarinya menari-nari di atas papan kekunci, sambil dirinya berbisik perlahan,
"Lagipun Am, kalau kau jadi komputer riba, siapa pula nak jadi kawan yang mengingatkan aku bila aku yang lupa?"
Bab 8: Manusia. Unpublished book.
Comments
Post a Comment