"Manusia kini lebih banyak termenung daripada merenung."
Kata Ustaz Zahazan, dalam bukunya 'Himpunan Kisah Benar Tapi Pelik: Mendidik Ummah di Taman Kisah'. Daripada kitab-kitab sejarah yang muktabar, malah di dalam al-Qur'an yang kita baca sehari-hari pun, ada banyak ayat, peristiwa serta kisah yang bukan saja boleh memberikan rasa kekaguman dan keinsafan kepada insan yang membaca, tetapi juga menuntut kita supaya berfikir dan melihat dengan teliti (dengan kata lain, mengkaji) peristiwa-peristiwa ini untuk kita ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Namun, pada masa kini manusia tidak tertarik malah bersikap acuh tak acuh terhadap 'kisah-kisah teladan' ini walhal itulah yang terbaik untuk dijadikan pedoman dalam kehidupan.
Daripada 38 kisah yang dimuatkan dalam buku setebal kira-kira 200 muka surat ini, ada satu kisah yang menarik perhatian sebab sangat relevan dengan situasi semasa. Tak seperti kebanyakan kisah lain yang ada menceritakan peristiwa luar biasa (seperti mukjizat nabi ataupun karamah wali), kisah ini boleh dikatakan paling 'biasa' berbanding kisah-kisah 'pelik' dalam buku ni.
'Hakim yang Celik Hati'
Syuraih bin al-Haris merupakan seorang lelaki berketurunan Yaman daripada kabilah al-Kindah. Syuraih r.a. ni sebenarnya tak dikenali sangat pun dalam kalangan penduduk Madinah, hinggalah pada suatu hari terjadinya satu peristiwa atau perselisihan antara Umar al-Khattab r.a., khalifah ar-Rasyidin yang kedua dengan satu orang awam. Khalifah Umar r.a. telah membeli seekor kuda, namun tak lama selepas kuda itu dibayar dan ditunggang tak jauh dari tempat itu, kuda tersebut tiba-tiba menjadi tempang lalu tak mampu meneruskan perjalanan.
Oleh itu, Umar r.a. pun membawa kuda itu kembali bertemu semula dengan si penjual. Umar menyatakan hasratnya untuk mengembalikan kuda tersebut kerana kecacatannya. Namun begitu, si penjual tidak mahu menerimanya kerana menurutnya, kuda itu tadi dijual dalam keadaan baik. Jadi Umar r.a. dan si penjual pun memutuskan untuk mencari seseorang yang boleh merungkaikan permasalahan tersebut, tak lain tak bukan, Syuraih bin al-Haris.
Apabila Umar r.a. bersama si penjual kuda bertemu dengan Syuraih dan menceritakan tentang hal tersebut, Syuraih berkata,
"Amirul Mukminin tidak berhak memulangkan kuda dalam keadaan tempang. Tuan mengambilnya dalam keadaan baik, maka seharusnya dikembalikan dalam keadaan baik seperti mana keadanya ketika tuan membelinya."
Agak-agaknya apakah reaksi Umar r.a. selepas mendengar penjelasan Syuraih yang penuh yakin itu?
Menjadi Hakim di Kufah
Kata Umar:
"Kalimat yang singkat, dan hukum yang adil. Berangkatlah kamu ke Kufah, kerana aku mengangkatmu menjadi qadhi (hakim) di sana."
Sejak kejadian tersebut, Syuraih r.a. menjadi masyhur dan mula dikenali ramai kerana kebijaksaannya menyelesaikan perselisihan itu seterusnya dilantik oleh Umar r.a. sendiri untuk menjadi hakim di Kufah.
(You know someone is so good at doing their jobs when they hold the position for such a long time) Syuraih telah memegang jawatan hakim tersebut selama 60 tahun, daripada zaman Khalifah Umar r.a., kemudian zaman khalifah-khalifah seterusnya, hinggalah zaman Bani Umayyah, di mana Mu'awiyah r.a. mengekalkan pelantikan Syuraih r.a. sebagai hakim tertinggi mahkamah.
Malaysia 2021: Ketua Polis yang Tegas Memerangi Rasuah
Masih ada lagikah khalifah seperti Umar r.a.? Sudahlah pengadilan tak berpihak kepada dirinya, dilantik pula orang yang mengadili permasalahan tersebut menjadi hakim di salah sebuah wilayah besar di bawah pemerintahan Islam. Kisah ini sebenarnya sedikit sebanyak mengingatkan diri ini kepada Tan Sri Abdul Hamid Bador, bekas Ketua Polis Negara yang baru saja menyerahkan jawatan yang disandangnya selama dua tahun itu kira-kira sebulan yang lalu.
Sepanjang perkhidmatan beliau, Tan Sri Abdul Hamid dikenali sebagai 'Ketua Polis Negara yang lantang bersuara menegur warga Polis Diraja Malaysia (PDRM)'. Sepanjang perkhidmatannya, beliau banyak mendedahkan kes-kes dalam kalangan anggota dan pegawai yang terlibat dalam masalah integriti (dengan kata lain, rasuah), salah guna kuasa, salah laku, serta kes-kes jenayah lain. Namun begitu, amat malang sekali pencapaian atau kelantangan tersebut tidaklah disenangi semua pihak; beliau sendiri sering mendapat kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk warga PDRM sendiri dan ahli politik yang berasa tergugat dengan pendedahan-pendedahan tersebut dan menganggap tindakannya itu sebagai 'membuka pekung di dada'. Ironinya, bukankah memang tugas kita sebagai manusia, apatah lagi pihak yang berkuasa, untuk sentiasa mengutamakan keadilan? Amat mengecewakan apabila ada dalam kalangan pihak itu sendiri yang rasa tidak senang dengan perkara sedemikian sedangkan pada zaman Khulafa ar-Rasyidin, pemimpin yang adil itulah yang dicari-cari.
Kebenaran Diutamakan
Berbalik kepada kisah Syuraih al-Haris, terdapat satu lagi peristiwa yang memperlihatkan sifat adilnya. Kali ini, peristiwa tersebut melibatkan khalifah Islam yang keempat iaitu Ali Abu Talib r.a. yang telah mendakwa seorang Yahudi mengambil bajunya yang tercicir. Semasa mengadili kes tersebut, Syuraih menjelaskan bahawa dalam pengadilan Islam, sudah ditetapkan bahawa setiap pendakwa harus mengemukakan dua orang saksi. Ali r.a. pun menerangkan bahawa pembantunya Qanbar dan anaknya al-Hasan ada bersamanya sebagai saksi.
Syuraih membalas, "Maaf Amirul Mukminin, Islam tidak membenarkan anak sebagai saksi!"
Umum mengetahui bahawa putera-putera Saidina Ali r.a. iaitu Hasan dan Husin merupakan pemuda yang telah dinobatkan sebaga ketua pemuda ahli syurga. Namun, umum juga maklum bahawa hukum yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. serta Nabi-Nya merupakan sesuatu yang bukanlah boleh diubah sesuka hati. Bagi Syuraih r.a., setinggi manapun kedudukan mereka di sisi Allah, pentadbiran di dunia mestilah selari dengan kaedah-kaedah yang telah digariskan, walaupun kedudukan tersebut disepakati oleh seluruh umat Islam.
"Subhanallah!" Kata Saidina Ali r.a. apabila mendengar jawapan Syuraih yang ringkas namun penuh makna. Beliau akur dengan keputusan Hakim Syuraih kerana bagi Ali r.a., keputusan hakim perlu dihormati apatah lagi keputusan yang berasas. Telah ditetapkan bahawa penyaksian dalam Islam tidak boleh disokong oleh kaum keluarga untuk memastikan pihak yang mengadili dan menghakimi perselisihan tersebut tidak berat sebelah.
Nota: Namun begitu, setelah mendapat kata putus daripada Syuraih r.a., orang Yahudi yang didakwa itu akhirnya mengakui bahawa baju besi yang menjadi punca perselisihan itu sememangnya baju milik Ali yang tercicir. Beliau lantas memeluk Islam di hadapan khalayak ramai selepas menyaksikan sendiri keadilan Islam secara peribadi - bahawa tiada sesiapa yang akan teraniaya di bawah pemerintahan Islam.
SOP: Antara Dua Darjat
Kebelakangan ini, ramai dalam kalangan rakyat marhaen di Malaysia yang menzahirkan rasa kesal dan kecewa dengan golongan 'kayangan' (menteri, golongan kenamaan, selebriti tanah air) yang cuba untuk mendapatkan pelepasan daripada SOP yang telah pun digariskan oleh pihak kerajaan. Malah, apabila individu daripada golongan tersebut didapati bersalah dan dibawa ke muka pengadilan, hukuman yang dijatuhkan pula ada kalanya tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan oleh individu atau golongan tersebut.
Daripada kisah Syuraih bin al-Haris, dapat disimpulkan bahawa Islam merupakan agama yang mengutamakan keadilan dan kesejahteraan sejagat. Pada akhir kisah Syuraih r.a., Ustaz Zahazan juga menyimpulkan bahawa 'Islam bersifat menjaga hak semua golongan tanpa mengira pangkat, kedudukan, harta, bangsa dan warna kulit', dan inilah keistimewaan keadilan yang digeruni oleh musuh Islam, kerana sebarang penganiayaan akan membawa kepada hukuman dan tiada pihak yang akan terlepas daripada tindakan undang-undang.
Isu 'double standard' dalam pelaksanaan pematuhan SOP bukan sahaja menjadi keluhan rakyat biasa, malah turut menerima kritikan daripada golongan barisan hadapan (khususnya pegawai perubatan) yang sudah terlalu lama bertarung nyawa dalam membanteras wabak Covid-19. Semua pihak, rakyat serta pemimpin seharusnya berganding bahu dalam usaha memerangi wabak ini. Sebagai umat Islam, kita sendiri diajar untuk mengutamakan kebenaran dan daripada kisah Syuraih r.a., dapat dilihat bahawa kebenaran itu dituntut walaupun di hadapan seorang ketua negara; tiada pihak yang berhak mendapat pelepasan atau pengecualian. Kata Ustaz Zahazan lagi, 'Andainya konsep ini disuburkan dan dipraktikkan dengan betul, nescaya tiada pimpinan negara yang berani untuk melakukan penyelewengan'.
Sedangkan khalifah dan ketua pemuda ahli syurga pun tidak terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang, siapalah kita untuk diberi 'pengecualian' dalam menegakkan keadilan.
Wallahu a'lam.
Semoga kisah ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat dan menjadi teladan buat kita, dan semoga kita sentiasa dalam perlindungan Allah s.w.t. terutamanya di saat-saat genting ini.
Fi amanillah.
Terengganu, Malaysia.
Comments
Post a Comment